Jemaah umrah ke tanah suci sebelum 28 Disember dibenar terus kembali ke Sabah

Jemaah umrah ke tanah suci sebelum 28 Disember dibenar terus kembali ke Sabah

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri hari ini memutuskan rakyat Sabah yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Disember 2021, dibenar meneruskan perjalanan ke Sabah sekembalinya ke negara ini.

Dalam satu kenyataan malam ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bagaimanapun berkata ia tertakluk kepada keputusan ujian saringan COVID-19 (RT-PCR) di Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Sabah.

Katanya, mereka yang dikesan negatif ujian RT-PCR boleh meneruskan perjalanan ke Sabah, namun hendaklah menjalani kuarantin apabila tiba di negeri ini.

“Kerajaan negeri akan menyediakan perkhidmatan Doktor Berdaftar bagi menjalani ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) secara percuma kepada rakyat Sabah yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Disember 2021.

“Kerajaan negeri turut menyediakan tempat penginapan kepada rakyat Sabah yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara sebelum 28 Disember 2021 yang disahkan positif dan perlu menjalani kuarantin di Kuala Lumpur.

“Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan melalui Yayasan Kebajikan Sabah dan akan diselaraskan bersama oleh Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur,” katanya.

Hajiji berkata, bagi rakyat Sabah yang bertolak menunaikan umrah dan keluar negara selepas 28 Disember 2021, mereka diwajibkan menjalani kuarantin selama tujuh atau 10 hari di Kuala Lumpur.

Katanya, kos kuarantin termasuk penginapan adalah ditanggung oleh jemaah umrah atau ejen pelancongan umrah masing-masing.

“Contohnya, ejen pelancongan umrah hendaklah memasukkan kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya dalam pakej umrah yang disediakan.

“Kos kuarantin termasuk penginapan dan sebagainya bagi rakyat Sabah yang pulang dari luar negara adalah atas tanggungan sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata, syarat-syarat kuarantin ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, Hajiji berkata kemasukan individu ke Sabah adalah tertakluk kepada syarat-syarat pihak berkuasa negeri yang sedia ada.

Sebelum ini, kerajaan negeri menetapkan semua kemasukan dari luar negara, khususnya dari negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara dan dikenal pasti berisiko tinggi Covid-19 varian Omicron perlu menjalani kuarantin wajib di Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|