Warga asing ditahan bersama syabu bernilai hampir RM60,000

Warga asing ditahan bersama syabu bernilai hampir RM60,000

Tawau: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah selepas berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia dalam operasi di Kuala Sungai Tawau, di sini, hari ini.

Dalam operasi jam 1.15 pagi itu, suspek berusia 28 tahun itu ditahan bersama dadah syabu seberat 130 gram yang dianggarkan bernilai RM59,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, operasi dijalankan PPM bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Syabu yang ditemui selepas menahan lelaki warga asing.

Katanya, ketika pemantauan dan risikan dijalankan di kawasan berkenaan, pihaknya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik memperkenalkan diri sebagai polis, dua orang saspek bertindak cuba melarikan diri. Bagaimanapun hanya seorang dapat ditahan dan seorang lagi suspek berjaya meloloskan diri.

“Pemeriksaan lanjut di dalam beg silang yang dipakai suspek menemukan sejumlah dadah disyaki syabu dengan berat 130 gram,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Nazari berkata, suspek kemudiannya ditahan dan diserahkan ke BSJN IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Lelaki warga asing ditahan dan menemui syabu dianggarkan seberat 130 gram di Kuala Sungai, Tawau.


Sehubungan itu, Mohd Nazari berkata, PPM Tawau sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang.

Katanya, PPM Tawau amat mengalu-alukan masyarakat supaya menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan mereka.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah di talian 013-2831197 agar tindakan segera dapat dilaksanakan,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|