Kluster Bahtera Barat di Kota Kinabalu

Kluster Bahtera Barat di Kota Kinabalu

Kota Kinabalu: Sabah hari ini mencatatkan satu kluster baharu melibatkan penularan jangkitan tempat kerja di pelantar cari gali minyak.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks kluster dikenali sebagai Kluster Bahtera Barat, Kota Kinabalu itu adalah seorang lelaki berusia 31 tahun yang merupakan kakitangan di pelantar berkenaan.

“Kluster ini melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja iaitu di pelantar cari gali minyak Sapura Pelantar Erb West.

” Kes indeks tidak menunjukkan sebarang gejala namun disahkan positif dalam saringan prosedur sign off kapal pada 8 Jun lalu, ketika menjalani kuarantin wajib di salah sebuah hotel di Bandaraya Kota
Kinabalu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pasukan kawalan yang menjalankan aktiviti pengesanan kontak dan saringan secara bersasar di lokaliti terbabit mengenalpasti syarikat tersebut mempunyai 162
kakitangan.

” Daripada 301 sampel yang diambil termasuk sampel ulangan, 17 sampel
didapati positif termasuk lima kes baharu yang direkodkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 bagi kluster ini sebanyak 18 kes.

“Sementara baki 283 sampel lagi adalah negatif,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 228 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 70,457 kes.

“Tiada kes kematian direkodkan hari ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan terdapat 11 daerah di Sabah yang mencatatkan penurunan kes berbanding semalam.

Antara daerah berkenaan adalah di Tawau, Kudat, Pitas, Sandakan, Beaufort, Penampang, Keningau, Lahad Datu, Semporna, Kota Marudu dan Tuaran.

“Lima daerah lain seperi Kota Kinabalu, Putatan, Kunak, Kalabakan dan Kota Belud mencatatkan peningkatan kes.

” Kita turut merekodkan 13 daerah yang mencatatkan sifar kes pada hari ini, “katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|