Kota Kinabalu: Naib Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ceasar Mandela Malakun (gambar) mempersoalkan motif sebenar pihak pembangkang di negeri ini untuk menyeru persidangan dewan secara tergesa-gesa.
Beliau berkata, dalam kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darell Leiking baru-baru ini, ia dilihat sebagai retorik politik dengan menyelitkan propraganda bagi menjayakan agenda mereka.
“Tidak ada niat ikhlas dari pihak Warisan untuk bersatu sedangkan selama ini mereka bertindak seolah-olah semua parti politik lain di sini tidak mempunyai kepentingan di dalam negeri.
” Apa yang mereka mahukan adalah mengaburi mata rakyat Sabah dengan menyebarkan retorik dan propaganda untuk kepentingan diri mereka sendiri,”katanya.
Mandela berkata demikian dalam satu kenyataan medianya, hari ini.
Terdahulu, Darell yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog dalam satu kenyataan meminta supaya persidangan DUN Sabah disegerakan bagi membincangkan bukan sahaja mengenai pembekalan vaksin dan juga bakul makanan, bahkan isu-isu berlainan seperti Akta Wilayah Laut 2012 (TSA).
Terdahulu, Mandela dalam masa yang sama memaklumkan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini telah menyatakan Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia membuat persidangan DUN pada tempoh bersesuaian.
Kertebukaan membuat persidangan DUN itu dalam pada masa yang sama akan mengikuti pelaksanaan dan nasihat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada tempoh pandemik ini.
-Deasoka