Kota Kinabalu: Majlis Belia Sabah (MBS) dan 17 gabungan menerima geran bernilai RM2.55 juta daripada kerajaan negeri bagi membantu menjalankan program pembangunan belia dan menyelaraskan aktiviti sokongan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Majlis penyampaian geran kepada badan masing-masing itu dilakukan Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Alfred Angin di Arena Belua, di Kepayan, di sini.
Majlis itu diadakan sempena lawatan Ketua Menteri ke MBS yang mana beliau turut meninjau program Dapur Belia 4.0 (Youth Kitchen).
Dalam program berkenaan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM500,000 untuk tujuan itu di bawah Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0.
Ia diseliakan oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah menerusi program MBS Dapur Belia kini yang berada dalam siri keempat sejak PKP pertama pada tahun 2020.
Sementara itu, Ketua Menteri turut memuji inisiatif bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah, MBS dan PERKESO untuk membantu belia yang kehilangan pekerjaan ketika PKP menerusi portal MyFutureJobs.
Pada majlis itu, Hajiji turut menyaksikan penyerahan replika cek daripada PERKESO sebanyak RM265,180 kepada kepada dua majikan sebagai insentif untuk mengadakan program latihan kepada pekerja mereka.
– Deasoka