3 kilang, 12 pekerja dikompaun menerusi Op Patuh

3 kilang, 12 pekerja dikompaun menerusi Op Patuh

Kota Kinabalu: Beroperasi tanpa kebenaran, pekerja melebihi had dibenarkan dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Itu antara kesalahan yang dikesan dalam operasi ‘Op Patuh’ yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, semalam.

Operasi bersepadu yang dijalankan di kawasan Manggatal dan Inanam itu dilakukan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi yang dijalankan membabitkan pemeriksaan terhadap 10 kilang.

Mohd Zaidi ketika melaksanakan Op Patuh di kilang-kilang sekitar Kota Kinabalu.

Katanya, hasil pemeriksaan, tiga kilang bersama 12 pekerja kilang dikenakan kompaun kerana melanggar undang-undang ditetapkan.

“Tiga kilang dikenakan kompaun kerana beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Manakala pekerja yang dikompaun atas kesalahan tidak mematuhi SOP, tidak mengimbas MySejahtera selain jumlah pekerja melebihi kapasiti dibenarkan.

“Kilang yang diperiksa hari ini adalah industri besi, produk plastik dan minuman serta polisterin,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kebanyakan kilang yang dikenakan kompaun mengaku kurang faham mengenai SOP yang ditetapkan.

Katanya, operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga penguatkuasaan membabitkan Covid-19 selesai.

“Semalam kita menjalankan operasi terhadap lapan kilang di kawasan sama namun tiada sebarang kesalahan dikesan.

“Kita berharap semua kilang-kilang yang beroperasi menuruti SOP ditetapkan dalam usaha memerangi pandemik Covid-19,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|