Kanak-kanak 10 tahun maut terkena renjatan elektrik

Kanak-kanak 10 tahun maut terkena renjatan elektrik

Tuaran: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sepuluh tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mengambil layang-layangnya yang tersangkut di tiang elektrik di kawasan tanah lapang Kampung Tembiluk, Mengkabong, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, mangsa bersama rakannya berusia 12 tahun dipercayai bermain layang-layang di kawasan tanah lapang tapak bekas sawah padi.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan, Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendedahkan layang-layang mangsa dipercayai tersangkut di tiang elektrik tempat mangsa dan rakannya bermain.

“Bagi mendapatkan semula layang-layangnya, mangsa menggunakan batang besi untuk mengait menyebabkan mangsa terkena renjatan elektrik dan terus tidak sedarkan diri.

“Bapa mangsa hanya menyedari kejadian selepas dimaklumkan oleh adik iparnya yang melihat anaknya terbaring di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, mangsa yang melecur separuh badan kemudian disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tuaran.

Katanya, mayat mangsa ditempatkan di Unit Forensik Hospital Tuaran bagi mengikuti proses SOP Covid-19 sebelum proses bedah siasat.

“Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa mendapati tiada tanda-tanda mencurigakan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan penuh bedah siasat diperolehi,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mengawasi pergerakkan anaka-anak sepanjang tempoh tidak bersekolah bagi memastikan mereka melakukan aktiviti yang tidak mengancam keselamatan diri.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|