PGA Sabah tahan 277 individu, rampasan bernilai RM18.9 juta

PGA Sabah tahan 277 individu, rampasan bernilai RM18.9 juta

Kota Kinabalu: Operasi berterusan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, sepanjang enam bulan pertama tahun ini mencatatkan peningkatan dengan penahanan 277 individu dan merampas pelbagai jenis barangan bernilai RM18.9 juta.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, semua kejayaan itu membabitkan sebanyak 97 kes yang dikesan menerusi tiga operasi iaitu Op Kontraban, Op Benteng dan Op Khazanah.

Katanya, semua operasi berkenaan dijalankan di seluruh negeri ini hasil daripada risikan dan maklumat yang diterima daripada orang awam.

Mohd Abduh Ismail ketika sidang media mengenai tangkapan/rampasan kes Op Kontraban, Khazanah dan Benteng di Sabah.

“Bagi tangkapan individu, ia membabitkan kesalahan mengikut Akta Imigresen iaitu sebanyak 127 orang, Akta Dadah (80), Akta Kastam (40), Akta Barang Kawalan (21), Akta Racun (4), Akta Hidupan Liar (3), Akta Perhutanan (2) dan Akta Senjatapi seorang.

“Tangkapan paling ramai berjaya dilakukan di Daerah Tawau membabitkan 154 individu diikuti Daerah Beluran iaitu seramai 78 orang,” katanya pada sidang media yang dijalankan di Dewan Latihan Briged Sabah PGA Kinarut, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Komander Asisten Komisioner Toipi Lamat.

Mohd Abduh Ismail menunjukkan antara kejayaan-kejayaan PGA Briged Sabah melalui 3 operasi di Sabah.

Mohd Abduh berkata, kejayaan enam bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding sepanjang tahun lalu iaitu sebanyak 148 kes dan 412 tangkapan serta RM12.2 juta rampasan.

Katanya, usaha pemantauan dan risikan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada sebarang kegiatan jenayah dapat dilakukan di kawasan perairan dan sempadan negeri ini.

“Kumpulan penjenayah sempadan dipercayai cuba mengambil kesempatan ketika penularan pandemik Covid-19 untuk menjalankan kegiatan mereka.

“Namun penguatkuasaan undang-undang membabitkan lima batalion iaitu Batalion (BN) 14 PGA Tawau, BN 15 PGA Sandakan, BN 16 PGA Kota Kinabalu, BN 17 PGA Lahad Datu dan BN 18 PGA Beluran akan terus dilaksanakan,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|