Dua remaja maut Dipercayai terbabit aktiviti lumba haram

Dua remaja maut Dipercayai terbabit aktiviti lumba haram

Tawau: Dua remaja yang dipercayai terbabit dalam aktiviti lumba haram maut, selepas motosikal yang ditunggang bertembung dalam kejadian di Landasan Lapangan Terbang Lama Tawau, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Rendy Salombe,15, dan Mohamad Ekhsan, 16, disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bertembung sesama sendiri dari arah bertentangan.

Keadaan dua motosikal selepas terbabit kemalangan disyaki ketika sedang berlumba haram di Landasan Lapangan Terbang Lama, Tawau.

Katanya, kedua-dua mangsa yang tidak memiliki lesen dipercayai menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.

“Ketika kejadian, kedua-dua penunggang disyaki terbabit dalam satu aktiviti lumba haram di landasan lapangan terbang berkenaan.

“Sehubungan itu, polis sedang mengesan pemilik sebenar motosikal yang terbabit berikutan alamat pemilik berdaftar adalah di daerah Semporna,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Keadaan dua motosikal selepas terbabit kemalangan disyaki ketika sedang berlumba haram di Landasan Lapangan Terbang Lama, Tawau.

Peter berkata, ujian saringan Covid-19 juga mengesahkan salah seorang mangsa positif Covid-19. 

Katanya, sampel darah kedua-dua mangsa sudah diambil untuk dianalisa dan proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian. 

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kemalangan disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kejadian itu juga turut tular selepas salah seorang individu memuat naik kemalangan berkenaan di dalam media sosial.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|