Kempen pelekat ‘Rumah Kita, Kita Jaga’

Kempen pelekat ‘Rumah Kita, Kita Jaga’

Kota Kinabalu: Di sebalik ‘keributan’ beberapa pihak yang menyokong kempen sokongan kepada isu bendera putih dan hitam dicanangkan baru-baru ini, timbul inisiatif mendokong keputusan Ketua Menteri berhubung ketetapan prosedur operasi standard (SOP) di Sabah.

Joe Ang, seorang peniaga tempatan memikirkan inisiatif dan idea mengedar 1,000 pelekat kereta dengan slogan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ bagi menimbulkan kesedaran ramai berhubung isu itu.

Jelasnya, beliau melakukan perkara demikian sebagai terjemahan menyokong keputusan Datuk Seri Hajiji Noor dalam memberi pendekatan pelonggaran SOP di Sabah sekaligus membuka peluang kepada peniaga sepertinya bernafas pada tempoh pandemik ini.

Ang (kiri) menyerahkan pelekat kempen kepada pihak syarikat Tom Auto Solutions di Kota Kinabalu.

“Kami lakukan ini sebagai simbolik sokongan kepada Ketua Menteri selain menunjukkan Sabah dan Sarawak merupakan entiti yang mempunyai kuasa autonomi berbeza dengan negeri-negeri lain.

” Malah, kalau di lihat, negeri Sabah mempunyai keutamaan untuk menentukan apa yang terbaik kepada rakyat lebih-lebih pada ketika cabaran pandemik Covid-19 ini.

“Sehubungan itu, kami berharap Kerajaan Persekutuan menyokong penuh inisiatif dan keputusan Kerajaan Negeri dalam usaha menangani Covid-19 serta pada masa sama ianya baik kepada rakyat Malaysia di Sabah,” katanya, di sini, hari ini.

Ang (kiri) menyerahkan pelekat kempen kepada pihak syarikat Tom Auto Solutions di Kota Kinabalu.

Terdahulu, pada Ahad, Ang menyerahkan bungkusan pelekat kereta itu kepada pihak syarikat Tom Auto Solutions di Kota Kinabalu, sebagai simbolik kepada kempen tersebut.

Terdahulu, Hajiji pada 28 Jun lalu telah mengumumkan pembukaan beberapa sektor ekonomi dan aktiviti sosial lain bagi pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 di Sabah.

Bagaimanapun, SOP yang diketengahkan itu masih belum mendapat pencerahan daripada peringkat Persekutuan, setakat ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|