Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menutup sekatan jalan raya (SJR) yang menghubungkan tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali (gambar) berkata, keputusan itu dibuat selepas pemantauan pergerakan trafik yang dilakukan sejak dua minggu lalu.
Katanya, keputusan menutup SJR itu dibuat tengah malam tadi selepas pemerhatian lebih dua minggu dilakukan.
“Pemerhatian mendapati kebanyakan pengguna jalan raya yang melakukan perjalanan antara tiga daerah ini untuk keluar bekerja dan mendapatkan barangan keperluan.
“Polis kini lebih memfokuskan SJR di laluan utama sempadan antara daerah bagi memastikan pergerakan trafik lebih lancar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hazani berkata, tindakan membuat SJR di laluan-laluan kecil antara daerah termasuk di jalan-jalan kampung sebelum ini juga sudah tidak lagi diperlukan.
“Saya sudah mengarahkan polis daerah untuk menutup SJR di laluan-laluan terbabit mulai minggu ini.
“Bagaimanapun, ia tidak bermaksud pihak polis akan mengabaikan penguatkuasaan SOP (prosedur operasi standard),” katanya.
Hazani berkata, mana-mana yang dikesan melanggari SOP akan tetap dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
-Deasoka