Wanita lari dari PKPD Bandaran, sudah mengosongkan rumah

Wanita lari dari PKPD Bandaran, sudah mengosongkan rumah

Kota Kinabalu: Wanita yang dirakam melarikan diri sudah meninggalkan rumah sewanya di Bandaran Berjaya yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, pihaknya sudah pergi ke rumah berkenaan namun didapati kosong dan tidak berkunci.

Katanya, polis percaya wanita terbabit sudah meninggalkan rumah yang disewa bersama keluarganya dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.

“Hasil siasatan awal mendapati, wanita terbabit baru saja menyewa rumah berkenaan sejak sebulan lalu.

“Ketika pemeriksaan dijalankan di rumah berkenaan, kita mendapati rumah sewa itu kosong dan dibiarkan terbuka,” katanya ketika ditemui, hari ini.

George berkata, polis percaya, wanita terbabit berkemungkinan akan meninggalkan rumah berkenaan secara terus.

Namun katanya, belum dapat dipastikan sama ada wanita terbabit mengambil kesempatan untuk lari daripada sewa ataupun atas masalah keperluan hidup akibat pandemik Covid-19.

“Usaha mengesan wanita itu masih giat dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sejak semalam, satu rakaman video tular menerusi aplikasi Tiktok yang memaparkan seorang wanita menyelinap keluar dari kawat duri di kawasan Bandaran Berjaya.

Dalam video berdurasi 0.31 saat itu, wanita yang memakai berbaju putih dan berseluar jeans itu sanggup meniarap untuk meloloskan diri dari dawai besi berkenaan sebelum melarikan diri ke arah bangunan berhampiran.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|