Buaya sepanjang tiga meter ditangkap

Buaya sepanjang tiga meter ditangkap

Beaufort: Seekor buaya sepanjang kira-kira tiga meter berjaya ditangkap Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) di Kampung Takuli, di sini, semalam.

Penolong Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Dr Sen Nathan berkata, buaya berkenaan ditangkap menggunakan pemasangan perangkap yang dipasang di kawasan sungai berhampiran kampung berkenaan.

Katanya, pemasangan perangkap itu dilakukan selepas menerima aduan daripada penduduk kampung yang mendakwa melihat kelibat buaya di kawasan berkenaan.

Pasukan JHL Sabah menangkap reptilia di dalam perangkap yang dipasang di Kampung Takuli, Beaufort.

“Bertindak atas aduan penduduk kampung, pasukan JHLS mengambil inisiatif memasang perangkap di beberapa lokasi yang dipercayai menjadi laluan reptilia berkenaan.

“Tiga hari selepas pemasangan perangkap, penduduk kampung memaklumkan buaya itu sudah memasuki perangkap dan JHLS terus mengambil tindakan segera,” katanya.

Dr Sen berkata, operasi mengambil reptilia terbabit dilaksanakan seawal jam 6.30 pagi oleh kakitangan JHLS terlatih menggunakan peralatan khas.

Buaya yang ditangkap di Kampung Takuli, Beaufort.

Katanya, JHLS berjaya menangkap buaya sepanjang kira-kira 3 meter dari perangkap terbabit sebelum dipindahkan ke Pusat Penyelamatan Hidupan Liar di Potuki, Lok Kawi, untuk penjagaan dan rawatan yang diperlukan.

“Kita amat menghargai tindakan penduduk kampung yang melaporkan kehadiran buaya di kawasan perkampungan mereka.

“Kehadiran buaya ini boleh membahayakan penduduk setempat terutama kanak-kanak,” katanya.

Dr Sen berkata, pihaknya juga merakamkan penghargaan kepada pihak yang memberi bantuan untuk rawatan hidupan liar termasuk Malaysian Palm Oil Council, Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation, ORANGUTAN APPEAL United Kingdom dan Zoo Oregon.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|