Kenderaan penyeludup rokok terbabas

Kenderaan penyeludup rokok terbabas

Kunak: Tindakan berani seorang lelaki yang dipercayai cuba melakukan penghantaran rokok seludup tidak kesampaian apabila kenderaan yang dipandunya terbabas ke longkang dalam kejadian di pekan Kunak, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu yang sedang melakukan operasi Op Kontraban, terserempak dengan sebuah kenderaan Toyota Avanza dalam keadaan mencurigakan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pasukan operasi yang bertindak atas arahan Pegawai Pemerintah Batalion 17 Lahad Datu, Superintendan Rajab Ahad Ismail, kemudiannya cuba menahan kenderaan berkenaan.

Rokok seludup yang dirampas oleh anggota PGA Lahad Datu.

Bagaimanapun katanya, pemandu terbabit terus bertindak memecut kenderaannya ke arah Kampung Bagiang, Kunak, di sini.

“Pasukan operasi terus mengekorinya sebelum mendapati kenderaan dipandu suspek terbabas ke dalam longkang di kiri jalan.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati, pemandu sudah melarikan diri dan terdapat sebanyak 14 plastik hijau berisi pelbagai jenis rokok disyaki rokok seludup,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Keadaan kereta Toyota Avanza membawa rokok seludup terbabas ke longkang di pekan Kunak, pagi tadi.

Mohd Abduh berkata, pasukan operasi terus menyita kenderaan berkenaan dan membawa barang rampasan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, semua rokok seludup dan kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM79,680 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Antara jenama rokok yang dirampas adalah Premium, Astro, Menara Dunia, LA Menthol dan Nice Bold.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|