Kota Kinabalu: Genjatan politik dilihat wajar dilakukan dalam memastikan pandemik Covid-19 di negara dan di Sabah dapat ditangani secara bersama.
Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Romzi Ationg (gambar) berkata, tindakan bercakaran mengenai ketidaksefahaman di dalam arena politik lebih-lebih lagi di media sosial dapat mempengaruhi minda rakyat dan seterusnya tidak membantu melandaikan pandemik yang dihadapi.
Beliau berkata, sikap segelintir ahli atau penyokong parti politik sejak kebelakangan ini dilihat cenderung mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan,turut memburukkan keadaan dan sekaligus membelakangi fokus membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
“Sewajarnya genjatan politik diambil oleh semua pihak kerana semakin kita berpolitik dan bercakaran, akhirnya fokus untuk membantu rakyat yang sedang terkesan pandemik ini akan hilang.
“Saya berpendapat, mereka yang berpolitik tanpa asas dengan bertindak menghentam peribadi seseorang ahli politik, dilihat tidak peka atau tidak mengambil kisah terhadap usaha menangani pandemik ini dan sehubungan itu, kita harus hentikan semua ini.
“Sudah sampai waktunya, terutamanya kita di Sabah lebih fokus dan terus mengembeleng tenaga tanpa mengira apa jua kepentingan politik atau latar belakang bagi bekerjasama di antara kita dalam menangani Covid selain membangunkan semula ekonomi yang terkesan selama ini,” katanya.
Romzi berkata demikian ketika dihubungi Deasoka.com, hari ini bagi mengulas senario semasa berhubung kelantangan beberapa pihak yang dilihat semakin ralat memainkan propaganda politik tanpa memikirkan kesan kepada rakyat ketika pandemik.
Terdahulu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam laman media sosialnya hari ini menzahirkan pendapat bahawa setiap ahli politik di negara ini untuk menumpukan terhadap krisis kesihatan dan ekonomi dengan mengambil pendekatan genjatan politik.
Titah Tunku Ismail turut berpandangan bahawa sekarang bukan masanya untuk berpolitik dan semua pihak diminta melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin bagi memerangi pandemik Covid-19.
-Deasoka