Jumlah pengendali pengangkutan daftar suntikan vaksin rendah

Jumlah pengendali pengangkutan daftar suntikan vaksin rendah

Kota Kinabalu: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah hanya menerima seramai 7,846 senarai nama pengendali pengangkutan awam di Sabah untuk pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Jumlah itu kurang lebih 50 peratus berbanding keseluruhan pengendali pengangkutan awam yang berdaftar dengan LPKP Sabah iaitu sebanyak 17,607 orang.

Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Chin Kim Hiung berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan yang mendaftar untuk suntikan vaksin, hanya pengendali e-hailing yang menghantar senarai penuh iaitu sebanyak 7766 orang.

Manakala katanya, bagi pemandu bas dan teksi pula, masing-masing hanya menghantar 31 dan 49 daripada 4,693 serta 5148 pemandu berdaftar.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada pemandu teksi dan bas supaya segera mendaftar menerusi Facebook LPKP seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Ini kerana senarai nama yang diterima kelak akan dihantar kepada Kementerian Pengangkutan untuk dimajukan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, Chin turut menyambut baik pengumuman kerajaan untuk melanjutkan had usia penggunaan kenderaan perkhidmatan awam secara automatik selama setahun.

Katanya, perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
baru-baru ini.

“Langkah ini menunjukkan kerajaan amat prihatin dengan kesukaran yang dihadapi oleh pengendali pengangkutan awam dan berusaha sedaya mungkin untuk memulihkan sektor ini yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|