Penduduk lapan lokaliti PKPD digesa terus patuh SOP: KPD Penampang

Penduduk lapan lokaliti PKPD digesa terus patuh SOP: KPD Penampang

Penampang: Polis menggesa penduduk yang berada di lapan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penampang dan Putatan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ini berikutan wujud insiden melarikan diri dari kawasan PKPD seperti yang berlaku di lokaliti lain.

Katanya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan penduduk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

Mohd Haris memeriksa kenderaan yang keluar dari lokaliti PKPD di Apartment Beverly Hills, Penampang.

“Hari ini saya bersama pengawai dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Penampang membuat tinjauan di beberapa lokasi yang sedang dikuatkuasakan PKPD termasuk di Apartment Beverly Hills Fasa 2.

“Pemantauan ini tertumpu kepada melihat pergerakan penduduk supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas memantau lokaliti PKPD di Apartment Beverly Hills, hari ini.

Mohd Haris (dua kiri) melakukan tinjauan di lokaliti PKPD di Apartment Beverly Hills, Penampang.

Hadir sama, Skuad Aman Wanita (AMANITA) IPD Penampang, Inspektor Arisanti Aziz

Mohd Haris berkata, pihaknya bimbang akan berlaku cubaan bolos keluar dari kawasan dikawal seperti di sesetengah tempat yang tular di media sosial.

Katanya, jumlah keseluruhan kawasan dikuatkuasakan PKPD bagi Penampang dan Putatan setakat ini adalah sebanyak lapan lokaliti dengan dipantau seramai 50 keanggotaan yang bertugas 24 jam dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“IPD Penampang sudah mendirikan sebanyak 12 pos mengikut kesesuaian bagi mengawal dan mengetatkan pergerakan penduduk di kawasan terbabit.

“Kebanyakan lokaliti sudah sedia berpagar dan kawat duri hanya dipasang di kawasan pagar rosak dan laluan tikus yang dikenalpasti boleh dilalui penduduk,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihatkan supaya penduduk di kawasan PKPD di daerah ini bersabar dan tidak mengambil tindakan menyalahi undang-undang.

Empat lokaliti di Penampang yang diisytiharkan PKPD ialah Kampung Kobusak, Baverly Hills Fasa 2, Kampung Madsiang dan Kampung Babagon.

Manakala di daerah Putatan pula membabitkan Kampung Muhibbah, Kampung Tebongon, Kampung Dumpil Keramat dan Kampung Lembising.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|