Kota Kinabalu: Polis sudah mengenal pasti identiti wanita yang dirakam melarikan dengan melintasi dawai besi di kawasan Bandaran Berjaya yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, hasil siasatan mendapati wanita terbabit tinggal di kawasan berkenaan dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
“Anggota polis sudah mengenal pasti wanita terbabit termasuk di mana tempat tinggalnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sejak pagi tadi, tular rakaman video menerusi aplikasi Tiktok memaparkan aksi seorang wanita menyelinap keluar dari kawat duri di kawasan Bandaran Berjaya, di sini.
Dalam video berdurasi 0.31 saat yang dirakam jam 8.30 malam itu menunjukkan wanita berbaju putih dan berseluar jeans sanggup meniarap untuk meloloskan diri dari dawai besi berkenaan sebelum melarikan diri ke arah bangunan berhampiran.
Kawasan berkenaan adalah kawasan yang dikenakan PKPD bermula semalam hingga 25 Julai depan.
Sementara itu, Hazani mengingatkan orang ramai yang berada di kawasan PKPD supaya tidak melakukan perkara yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Kita nasihatkan kepada orang ramai yang berada di kawasan PKPD supaya terus mematuhi undang-undang ditetapkan.
“Ia bukan saja membahayakan diri masing-masing tetapi juga boleh dikenakan tindakan tegas kerana melakukan kesalahan melanggar perintah PKPD,” katanya.
https://deasoka.com/semasa/beraninya-kamu/
– Deasoka