200 gram syabu,dua warga asing ditahan

200 gram syabu,dua warga asing ditahan

Lahad Datu: Memiliki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Motosikal Yamaha R25. Itu kemewahan dua pekerja ladang warga asing yang dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah sebelum ditahan polis, semalam.

Kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia 39 dan 52 tahun terbabit ditahan dalam serbuan jam 5.30 petang di sebuah rumah pekerja ladang, Jalan Lahad Datu-Sandakan, di sini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, serbuan dijalankan hasil risikan daripada maklumat awam.

Dadah syabu yang dirampas susulan penahanan dua suspek terbabit.

Katanya, ketika serbuan, polis tidak menemui sebarang kesalahan pada pemeriksaan fizikal terhadap kedua-dua suspek.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan membawa kepada penemuan satu beg bimbit berisi empat plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu dengan anggaran berat 200.56 gram.

“Semua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM20,056 berdasarkan harga pasaran semasa dan mampu menampung penggunaan sehingga 26,000 penagih dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan Shah berkata, siasatan awal, kedua-dua suspek yang berasal dari Indonesia masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek bebas dari sebarang dadah.

“Turut disita Toyota Hilux dan Motosikal Yamaha R25 dengan anggaran keseluruhan rampasan termasuk dadah sebanyak RM131,056.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|