293 kes baharu di Sabah hari ini

293 kes baharu di Sabah hari ini

Kota Kinabalu: Negeri Sabah mencatatkan sebanyak 293 kes positif baharu dengan merekodkan dua kematian di daerah Sandakan pada hari ini.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daripada jumlah tersebut, daerah Kota Kinabalu menjadi penyumbang jumlah terbesar kes positif di Sabah setakat hari ini dengan catatan sebanyak 77 kes.

Ini diikuti daerah Beaufort dengan 29 kes, Tawau (26), Kudat (19), Kota Belud (18), Putatan (16), Penampang (11), Tuaran (9), Sandakan (7), Beluran (6), Nabawan (4), Kota Marudu (4) dan Lahad Datu (3).

Daerah Kalabakan, Kinabatangan, Kunak, Telupid, Tongod, Tambunan, Ranau, Tenom bagaimanapun mencatatkan sifar kes Covid-19 pada hari ini.

“Daerah Kota Kinabalu mencatat jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak (77) kes dengan pecahan (30) kes daripada Saringan Kluster, (29) kes daripada Saringan Kontak Rapat, lapan (8) kes daripada Saringan Bergejala, enam (6) kes daripada Saringan Bersasar dan empat (4) kes daripada lain-lain saringan.

“Kluster Tembok Kota Kinabalu adalah kluster yang berpunca daripada banduan Penjara Kepayan dan Kluster Agora Borneo adalah kluster yang berkaitan dengan kes daripada Pasaraya Bataras, 1Borneo Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu berkata demikian dalam laporan harian Covid-19 Sabah, hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata, setakat hari ini, Sabah tidak merekodkan sebarang kluster baharu dan pihaknya bagaimanapun tetap menegaskan supaya orang ramai mematuhi prosedur operasi standart (SOP) kendiri dan ditetapkan kerajaan bagi usaha melandaikan penularan Covid-19.

“Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|