Kota Marudu dibimbangi kurang bekalan vaksin: Maximus

Kota Marudu dibimbangi kurang bekalan vaksin: Maximus

Kota Marudu: Bekalan vaksin di daerah Kota Marudu dibimbangi kurang, menurut Ahli Parlimen Kota Marudu Datuk Seri Maximus Ongkili.

Beliau menyuarakan perkara itu susulan senario semasa terdapat segelintir penduduk di daerah terbabit yang dimaklumkan temujanji vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada, terpaksa ditunda.

“Bekalan vaksin Covid-19 di daerah ini tidak mencukupi menyebabkan temu janji segelintir penduduk kampung terpaksa ditunda pada saat akhir… dan ada di antara mereka yang telah sampai ke PPV namun diberitahu temujanji mereka telah ditunda.

“Perkara ini tidak seharusnya terjadi terutamanya bagi masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman. Kita khuatir mereka akan hilang keyakinan dan tidak mahu menerima vaksin pada temujanji akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelepasan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Siri Kedua ke kawasan Magandai, Kota Marudu, hari ini.

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dalam pada itu menggesa agar masalah kekurangan vaksin di Sabah dapat diatasi dengan segera.

“Masalah ini bukan berlaku di kawasan Kota Marudu sahaja namun di daerah lain turut mengalami masalah yang sama termasuk di negeri Sarawak.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba agar masalah ini dapat diselesaikan dalam kadar yang segera.

“Oleh itu, saya menyeru kepada pihak yang berkaitan agar memastikan bekalan vaksin di Sabah dan Sarawak mencukupi dan konsisten, “katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak kerajaan telah melakukan yang terbaik dan komited dalam usaha pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi Program imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Melalui usaha seperti program outreach vaksinasi Covid-19 ini, kita yakin dapat mempercepatkan lagi pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk di kawasan pendalaman yang mana terdapat masyarakat yang tidak dapat ke kawasan bandar untuk menerima suntikan vaksin mereka.

“Buktinya, Malaysia berjaya mencapai kadar vaksinasi Covid-19 melebihi 300,000 dos sehari. Namun, saya percaya Sabah dan Sarawak juga mampu mencapai angka harian seperti ini sekiranya tidak ada masalah lain seperti kekurangan bekalan vaksin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, daerah Kota Marudu mempunyai populasi lebih 50,000 penduduk dimana hanya 27,598 orang (iaitu 55 peratus) telah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin.

“Di daerah Kota Marudu sahaja sejumlah 7,899 individu telah menerima suntikan dos pertama dan 5,408 individu telah menerima suntikan dos kedua, manakala di daerah Matunggong, seramai 1,060 individu menerima dos pertama dan 1,052 telah menerima dos kedua vaksin.

“Saya menghargai kerjasama dan komitmen seluruh warga di kawasan parlimen Kota Marudu yang telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 ini.

“Kita melihat sambutan rakyat kepada usaha kerajaan kini begitu memberangsangkan walaupun pada awalnya sambutan agak perlahan,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|