Anugerah kehadiran kekalkan semangat murid sertai PdPR

Anugerah kehadiran kekalkan semangat murid sertai PdPR

Labuan: Menyedari pentingnya murid menyertai Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), pelbagai pendekatan digunakan untuk memastikan murid terus bersemangat mengikuti PdPR sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lada, di sini, anugerah kehadiran akan diberikan setiap minggu kepada mana-mana murid yang mencapai penyertaan memuaskan dalam kelas PdPR sebagai galakan kepada murid di sekolah itu.

Guru Besar SK Sungai Lada, Maidan Dali Yusoff, berkata bagi minggu pertama PdPR pada bulan lalu, seramai 108 murid sekolah itu disenaraikan sebagai peserta PdPR terbaik sebagai penghargaan terhadap komitmen mereka menyertai program pembelajaran secara berterusan.

Guru Besar SK Sungai Lada, Wilayah Persekutuan Labuan, Maidan Dali Yusoff.

Katanya, pendekatan itu diharap dapat meningkatkan semangat murid untuk terus mengikuti PdPR, sekali gus memastikan tiada murid yang tercicir daripada pelajaran sepanjang PKP.

“Bagi minggu pertama PdPR kali ini, seramai 108 murid disenarai sebagai peserta terbaik dalam PdPR di SK Sungai Lada dan kita berharap jumlah ini akan terus meningkat pada minggu-minggu yang seterusnya,” katanya, di sini.

Program Taranah di Rumah antara inisiatif SK Sungai Lada, Labuan untuk mengisi masa murid yang banyak dihabiskan di rumah sepanjang PKP.

Beliau berkata, beberapa aktiviti lain turut diadakan sepanjang PdPR menerusi inisiatif sekolah melaksanakan Program Taranah di Rumah atau duduk di rumah untuk mengisi masa murid yang banyak dihabiskan di rumah sepanjang PKP.

Katanya, program secara dalam talian anjuran Hal Ehwal Murid (HEM) sekolah itu antaranya menyediakan bimbingan mengenai kaedah menangani tekanan atau stress dalam kalangan murid, selain aktiviti kecerdasan fizikal.

“Program ini diadakan untuk mengisi masa hujung minggu murid sebagai antara inisiatif sekolah memastikan murid dapat melaksanakan aktiviti bermanfaat sepanjang duduk di rumah.

“Penyertaan murid dan ibu bapa nampaknya menggalakkan apabila seramai 143 orang mengikuti program secara dalam talian itu yang diadakan baru-baru ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|