JPN Sabah beroperasi seperti biasa

JPN Sabah beroperasi seperti biasa

Kota Kinabalu: Sebanyak 29 termasuk Ibu Pejabat Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, kembali beroperasi seperti biasa dalam Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sembilan pejabat beroperasi bermula 8 pagi hingga 5 petang manakala 20 pejabat lagi beroperasi setengah hari bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Pengarah JPN Sabah, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya setakat ini melaksanakan dua syif pagi dan petang dan pegawai yang terbabit hanya bertugas selama empat jam sahaja.

Katanya, langkah ini bagi mengekang penularan wabak pandemik Covid-19.

“Sekarang ini fasa dua, kita diberikan kebenaran untuk buka setial hari walaupun di Pitas, Nabawan dan Tenom. Kalau dulu ada sesetengah hari dua kali seminggu.

“Dalam tempoh itu juga, kita terima urusan temujanji melalui bilik gerakan bukan setakat di Sabah, di Semenanjung, di Puterajaya di negeri-negeri lain di Semenanjung, Sabah dan Sarawak semuanya melalui bilik gerakan,” katanya ketika hadir sebagai tetamu dalam Program RTM ‘Kami Bah Ini (KBI) di Kepayan, semalam.

Sembilan Pejabat JPN Sabah berkenaan iaitu Ibu Pejabat JPN Sabah; JPN UTC cawangan Sabah; JPN Sandakan; JPN UTC Tawau, JPN Semporna; JPN Papar; JPN Lahad Datu; JPN UTC Keningau dan JPN Kota Marudu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat dua cara bagi orang ramai yang hendak berurusan di mana-mana pejabat JPN iaitu berurusan secara Online dan juga hadir ke pejabat selepas membuat temu janji melalui JPN di www.jpn.gov.my.

Katanya, orang ramai juga boleh membuat panggilan ke telefon Bilik Gerakan JPN Sabah di nombor 088-488300, 088-488 301 atau 088-488 365.

“Bilik gerakan ini juga diaktifkan sejak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” jelasnya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|