Jajaran jalan baru, penduduk pedalaman Sabah bakal terima manfaat: Arthur

Jajaran jalan baru, penduduk pedalaman Sabah bakal terima manfaat: Arthur

Kota Kinabalu: Penduduk di kawasan pedalaman Sabah bakal menerima manfaat selepas projek menaik taraf jalan Sinaron, Sook, Keningau ke Linayukan, Tongod, Sabah yang merentasi daerah Keningau dan Tongod, bermula bulan ini.

Menurut Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup (gambar), projek berkenaan yang bernilai lebih RM320 juta itu dijangka turut melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid dan Kuamut.

“Ia telah diluluskan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dalam Rancangan Malaysia Kesebelas, Rolling Plan Kedua (RMKe- 11, RP2) Tahun 2017 tetapi tergendala selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada tahun 2018.

“Namun, projek ini sekarang disambung semula dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan akan mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan,”katanya, dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata, jajaran jalan sejauh 40 kilometer dengan pembinaan tujuh buah jambatan baharu ini dijangka menghubungkan Sook ke Tongod melalui Kampung Monggorimot, Lalampas dan Linayukan yang akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar 19 buah kampung.

Antara perkampungan dimaksudkan adalah seperti Kg Sinaron, Kg Sinaron Tengah, Kg Sinua, Kg Mansiat, Kg Lalapakon, Kg Widudun, Kg Maliau, Kg Bibilod, dan Kg Langkabong.

Pembinaan jalan baharu tersebut juga akan mengurangkan jarak dan memendekkan masa perjalanan yang menghubungkan Pekan Sook ke Tongod.

“Pelaksanaan projek ini akan membangun serta menggalakkan sektor pertanian dan pelancongan setempat.

“Impak ekonomi secara keseluruhannya akan dapat dinikmati oleh penduduk khususnya di Keningau, Sook, dan Tongod.

“Ini sekali gus dapat meningkatkan taraf sosial ekonomi penduduk kampung yang tinggal di sepanjang jajaran jalan tersebut,”katanya.

Tambah beliau, selain itu, kerja-kerja menaik taraf jalan kepada jalan berturap ini juga akan mengurangkan kos penyelenggaraan rutin jalan yang ditanggung oleh Kerajaan.

“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan sedang berusaha menyediakan kemudahan infrastruktur jalan raya yang lebih baik bagi menghubungkan antara kawasan di pedalaman Sabah supaya pembangunan yang lebih seimbang akan di nikmati oleh semua rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|