Komander ESSCOM terima kunjungan hormat Komander ATB 2

Komander ESSCOM terima kunjungan hormat Komander ATB 2

Lahad Datu: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Ahmad Fuad Othman menerima kunjungan hormat daripada Komander Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad, di pejabatnya, di sini, pagi tadi.

Kunjungan hormat berkenaan antara lain bertujuan membincangkan kerjasama dua hala dan strategi operasi keselamatan di kawasan ESSZONE.

Datuk Ahmad Fuad berkata, kerjasama yang dilaksanakan kedua-dua agensi keselamatan ini bagi memperkasakan lagi atur gerak aset dan penempatan anggota keselamatan di kawasan ESSZONE.

Katanya, kunjungan hormat ini akan dapat meningkatkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama erat yang sedia terjalin di antara kedua-dua agensi keselamatan berkenaan.

“Ia bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan pantai timur Sabah akan sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Turut hadir Ketua Staf Operasi Udara ESSCOM Brigadier Jeneral Ayub Khan Mohd Khan dan Ketua Staf Pasukan Khas ESSCOM Senior Asisten Komisioner Ali Tamby.

Dalam kunjungan hormat itu, Abdul Karim turut dibawa melawat ke Pusat Operasi (PUSOP) ESSCOM.

Beliau turut diberikan taklimat konsep pengoperasian dan kesiapsiagaan ESSCOM di Zon Selamat Timur Sabah ( ESSZONE) dalam mengawal dan mempertahankan kedaulatan dan keselamatan pantai timur Sabah.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|