Pemandu van jenazah teruskan aktiviti amal

Pemandu van jenazah teruskan aktiviti amal

Kota Kinabalu: Seorang pesara kerajaan yang kini menjalankan aktiviti amal mengendalikan perkhidmatan van jenazah secara percuma terus mengadakan tanggungjawab sosial pihaknya dengan mengagih bantuan bakul makanan.

Mohd Shuaib Mohd Kassim, 65, agihan itu adalah kepada golongan yang terkesan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

Beliau yang ditemui Deasoka.com hari ini berkata, hasil dana yang terkumpul melalui khidmat penghantaran jenazah serta sumbangan daripada rakan-rakan telah membolehkan beliau menjalankan khidmat amal tersebut.

Jelas beliau, ahli keluarganya turut menyokong inisiatif tersebut dan sering membantunya menyiapkan bakul makanan untuk diedar.

“Dana-dana ini semua daripada kawan saya yang derma kereta jenazah, ada juga yang terus bagi, tolonglah kesian mereka kata. Saya kata saya sampaikan amanat kamu.

“Ada yang bagi saya RM500, RM1000 ada yang RM50, sekadar yang termampu merekalah.

“Jadi saya bersyukurlah, mudah-mudahan rezeki itu bertambah lagi atas kereta jenazah yang ini, membantu kawan kawan yang ada di mana saja,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan bakul makanan kepada 16 penerima di sekitar ibu negeri, hari ini.

Jelas beliau, setiap pek bakul makanan itu dilengkapi keperluan asas seperti beras, ikan masin, tepung, susu cair kurma dan juga makanan untuk kanak-kanak.

Ditanya bagaimana beliau mengenalpasti golongan yang memerlukan bantuan ini, beliau menjelaskan bahawa mereka biasanya terdiri daripada individu-individu yang beliau bantu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama yang dilaksanakan tahun lalu.

Sekiranya mempunyai rezeki lebih di masa akan datang, Shuaib berkata dia ingin membantu lebih ramai orang yang terkesan akibat pandemik ini.

“Harapan saya kalau ada lagi sumbangan saya akan bagi lagi di tempat kawasan lain. Ada juga yang meminta dan sedang menunggu, saya sekarang atur masa yang terbaik,” katanya.

Khidmat penghantaran jenazah yang ditawarkan oleh beliau adalah terbuka kepada sesiapa sahaja yang memerlukan, tanpa mengira bangsa mahupun agama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|