Kinarut: Mula mengambil dadah sejak berusia 27 tahun dan pernah ditangkap sebanyak empat kali.
Itu yang dilalui seorang wanita berusia 53 tahun apabila hanya sekadar ingin mencuba namun mengubah kehidupannya hingga ketagih dadah syabu.
Dia antara 10 individu yang ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dalam Op Sarang yang dijalankan awal pagi tadi.
Dalam operasi bermula pada 7.30 pagi itu, serbuan di Skim Penempatan Kinarut dan Kampung Pituru, yang menjadi lokasi tumpuan penagih digempur polis.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew AK Umpit berkata, operasi yang dijalankan tiga pegawai dan 15 anggota dari pelbagai unit IPD Papar memeriksa 12 individu disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Katanya, semua yang ditahan kemudian dibawa ke Balai Polis Kinarut untuk ujian saringan air kencing.
“Hasil pemeriksaan seramai 10 individu termasuk seorang wanita berusia 26 hingga 54 tahun ditahan kerana terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 5.64 gram bernilai RM600,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Kinarut, di sini, hari ini.
Menurutnya, tangkapan terdiri daripada tujuh warganegara dan tiga bukan warganegara.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
“Operasi berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa demi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini,” katanya.
Sehubungan itu, Batholomew berkata, kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah kepada polis amat penting supaya tindakan lanjut dapat diambil.
-Deasoka