Lindungi Zon Ecolinc Kinabalu untuk manfaat komuniti luar bandar

Lindungi Zon Ecolinc Kinabalu untuk manfaat komuniti luar bandar

Kota Belud: Zon Ecolinc Kinabalu perlu dilindungi berikutan kedudukannya yang terletak di kawasan tanah tinggi yang boleh memberi impak signifikan kepada kawasan tanah rendah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, sebarang aktiviti penerokaan tanah di kawasan itu akan membawa impak tinggi kepada kawasan tanah rendah di sepanjang sungai Tuaran dan Kadamaian.

Datuk Joniston Bangkuai mendengar taklimat oleh timbalan pengarah Taman Sabah Ludi Apin mengenai projek Kinabalu Ecolinc.

Katanya, salah satu objektif utama projek Ecolinc ini adalah untuk mewujudkan rangkaian kawasan perlindungan komuniti di kawasan terpilih.

“Ia berfungsi sebagai ejen kepada kesinambungan habitat dan hidupan liar antara Taman Kinabalu dan Taman Banjaran Crocker.

“Aktiviti-aktiviti dibawah objektif ini bukan saja memberi manfaat kepada komuniti dan kampung tetapi juga sekaligus dapat menjaga alam sekitar untuk mengekalkan khazanah alam agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.

Joniston yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata demikian pada majlis perasmian tapak eko-pelancongan dan pusat pemprosesan nanas di Zon Ecolinc Kinabalu di Pekan Nabalu di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Taman-Taman Sabah dan penyelaras projek Kinabalu Ecolinc, Ludi Apin bagi mewakili Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim.

Zon Ecolinc Kinabalu ditaja oleh Kesatuan Eropah dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) meliputi tujuh kampung di bawah daerah Kadamaian, Tuaran dan Ranau.

Sejak ia dimulakan 2014, projek Kinabalu Ecolinc memberi peluang kepada komuniti luar bandar untuk terlibat secara langsung dalam memanfaatkan program yang dijalankan khususnya dalam aktiviti pertanian mampan dan pelancongan berasaskan komuniti.

Dalam pada itu, Lembaga Pelancongan Sabah, Taman-Taman Sabah, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), dan Universiti Malaysia Sabah, antara lain turut membantu menyediakan sokongan latihan untuk melengkapkan penduduk luar bandar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.

Joniston turut menyeru rakyat supaya mengambil kesempatan daripada inisiatif Kinabalu Ecolinc dan menyatakan kementerian akan terus menyokong projek kerjasama sedemikian yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya memuji usaha Taman-Taman Sabah dalam menyalurkan pelbagai aktiviti sosioekonomi dan pembangunan kapasiti kepada komuniti di pelbagai daerah. Saya berharap lebih ramai lagi komuniti yang berminat dan bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti sedemikian.

“Hari ini, kita melihat penubuhan eko-pelancongan berasaskan komuniti baru, dan kita berharap destinasi pelancongan berasaskan komuniti ini akan dikenali secara global,” katanya.

Tiga tapak pelancongan berasaskan komuniti yang baru dilancarkan ialah Eko-Pelancongan Kampung Kiau (Kota Belud), Eko-Pelancongan Kampung Tiong Simpodon (Kiulu), dan Eko-Pelancongan Kampung Wasai Kosigompoton (Kiulu).

Sementara itu, Maklarin, dalam ucapannya berkata, Kinabalu Ecolinc komited untuk melaksanakan aktiviti utama iaitu pembentukan kawasan lindungan masyarakat, restorasi habitat merosot berasaskan komuniti, pembangunan pertanian lestari dan pembangunan pelancongan berasaskan komuniti yang berkaitan hutan untuk menyokong pengurusan hutan.

Manakala penduduk kampung yang terlibat dalam aktiviti pelancongan berasaskan komuniti turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pelbagai pihak kerana memberi mereka latihan yang amat diperlukan.

Mereka juga berharap inisiatif sebegini akan diteruskan bagi membantu penduduk luar bandar meningkatkan keupayaan, khususnya melalui aktiviti pelancongan dan pertanian.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|