Wanita berdepan detik cemas dicabul, dipukul

Wanita berdepan detik cemas dicabul, dipukul

Kota Kinabalu: Seorang wanita berdepan detik cemas selepas bukan dicabul malah dibelasah oleh seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya di Bukit Padang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, mangsa berusia 34 tahun itu bagaimanapun, berjaya menyelamatkan diri selepas bergelut dengan penjenayah terbabit dengan keluar meminta tolong daripada jiran.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang baru selesai mandi dikatakan diserang oleh suspek sebelum diheret ke atas tilam.

Bagaimanapun katanya, mangsa yang meronta-ronta dan menjerit meminta tolong berjaya melepaskan diri walaupun beberapa kali ditumbuk serta dicekik oleh suspek.

“Kepala mangsa sekali lagi dihentak ke dinding bilik namun suspek terus melawan sehingga berjaya membuka pintu utama rumah dan menjerit meminta pertolongan.

“Jeritan mangsa disedari salah seorang jirannya yang terus membantu memeriksa keadaan belakang rumah mangsa sebelum melihat suspek yang melompat keluar dari tingkap rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, jiran mangsa mengenali suspek yang dikatakan turut tinggal di salah sebuah rumah di kawasan berkenaan.

Katanya, berdasarkan siasatan Jabatan Forensik dan maklumat yang diterima, polis kemudiannya menahan suspek dan merampas pakaian yang dipakai ketika kejadian.

“Hasil siasatan, suspek mengaku masuk ke dalam rumah mangsa untuk mencuri namun selepas melihat keadaan mangsa, suspek bertukar niat dan cuba mencabul pengadu.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 323 akta yang sama atas kesalahan mencederakan mangsa,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|