Gazet ‘Sabah Day’, SAPP sokong kenyataan Jeffrey

Gazet ‘Sabah Day’, SAPP sokong kenyataan Jeffrey

Kota Kinabalu: Parti Maju Sabah (SAPP) menyambut baik dan menyokong cadangan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffery Kitingan untuk mencadangkan supaya Hari Sabah atau Sabah Day menjadi perayaan rasmi pada 31 Ogos setiap tahun.

Menurut Timbalan Presiden SAPP, Japiril Suhaimin, Sabah Day adalah menifestasi dari segi pengikhtirafan Sabah sebagai sebuah Wilayah yang diumumkan oleh Perdana Menteri di Sarawak pada awal tahun ini.

Beliau berkata, adalah wajar kenyataan Jeffrey yang juga Presiden STAR Sabah itu dibawa dan dibincangkan kepada pihak kerajaan supaya satu mekanisme dibentuk bagi mewartakan hari berkenaan.

Jelasnya yang sebelum ini, pernah menjadi Pengerusi penganjur Sabah Day di daerah Kundasang pada tahun 2015 dan 2017, beliau berkata, ianya sangat bertepatan dengan matlamat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Selain itu juga “Sabah Day “ akan menjernihkan beberapa isu dan perdebatan berkaitan Kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963 daripada British sebelum membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September tahun yang sama.

” Sebagaimana Sarawak telah mengazetkan 22 Julai sebagai Sarawak Day, kini tiba masanya bagi Sabah melakukannya,” katanya.

Tambahnya, sejarah kemerdekaan Sabah akan menjadi kebanggaan rakyat di negeri ini dan generasi muda di masa akan datang dengan Sabah Day akan menyebabkan cetusan semangat patriotik di kalangan rakyat.

” Apatah lagi, ianya juga akan menutup tuntutan Filipina ke atas Sabah yang hangat diperkatakan beberapa tahun lalu dan memberi keyakinan yang lebih kepada Sabah.

” Saya berharap semua anggota kabinet Sabah menyokong saranan dan cadangan ini .

“Begitu juga kepada semua ADUN Sabah sekiranya perlu dibincangkan di Dewan Undangan Negeri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|