Sabah terima sumbangan lebih 500,000 pelitup muka, cecair basmi kuman

Sabah terima sumbangan lebih 500,000 pelitup muka, cecair basmi kuman

Kota Kinabalu: Usaha berterusan Kerajaan Negeri Sabah menangani penularan pandemik Covid-19 di negeri ini mendapat sambutan daripada pelbagai pihak.

Terbaru, Dewan Perniagaan Sabah-China (SCCC) dan FJ Manjung Sdn Bhd dalam satu majlis di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini tampil menyumbangkan sebanyak lebih 500,000 keping pelitup muka dan peralatan cecair pembasmi kuman.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Kerajaan Negeri amat merakamkan penghargaan daripada kedua-dua pihak dengan kesemua sumbangan tersebut akan diagihkan kepada mereka yang terlibat.

Hajiji (tengah) menerima sumbangan pelitup muka daripada Son (kiri) dalam majlis tersebut, turut kelihatan adalah Abidin (kanan). (Gambar ihsan unit media JKM Sabah)

“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada SCCC dan FJ Manjung dengan sumbangan dan bantuan yang telah diberikan kepada negeri dalam membantu memerangi pandemik COVID-19.

“Sumbangan ini juga akan diberikan ke semua daerah menerusi pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 di peringkat daerah masing-masing.

“Kita berharap kes membabitkan pandemik ini dapat dikurangkan dan sektor ekonomi dapat dipulihkan dengan segera,” katanya.

Beliau menerima sumbangan itu sebagai mewakili Kerajaan Negeri Sabah yang disampaikan oleh Presiden SCCC, Datuk Frankie CT Liew dan Pengarah Kewangan FJ Manjung Sdn Bhd, Lee Jack Son.

Hajiji (kanan) melihat cecair pembasmi kuman yang disumbangkan oleh pihak SCCC sambil diperhatikan oleh Frankie (kiri). (Gambar ihsan unit media JKM Sabah)

Hadir sama adalah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir; Timbalan Presiden SCCC , Datuk Soh Poh Soon dan dua Naib Presidennya iaitu Datuk Kevin Lim serta Chiew Heng Hock dan Setiausaha Agung SCCC, Ir Tan Kok Jyh.

Menerusi bantuan itu, FJ Manjung menyumbang sebanyak 500,000 pelitup muka manakala bantuan daripada SCCC turut membabitkan pelitup muka sebanyak 16,000 keping selain 200 botol cecair pembasmi kuman 60 mililiter (ml); 282 botol cecair pembasmi kuman 500 ml; termometer (20 unit); Handphone UV Sanitizer (20 unit) dan cermin mata keselamatan atau goggle (80 unit).

Terdahulu, dalam majlis itu, SCCC turut memaklumkan mengenai usahasama antara bandar raya berkembar Kota Kinabalu dengan beberapa bandar raya di China selain turut memaklumkan usaha yang akan diambil bagi merangsang perniagaan dan perdagangan antara SCCC dengan pelabur dari negara China.

Frankie berkata bantuan dan sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan SCCC kepada rakyat di negeri ini serta berharap kes COVID-19 dapat dikawal atau dikurangkan agar kehidupan kembali normal seperti sebelum ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|