Kerajaan sasar 60 peratus penduduk menerima vaksin Oktober ini

Kerajaan sasar 60 peratus penduduk menerima vaksin Oktober ini

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurang 60 peratus penduduk di Sabah akan menerima suntikan vaksin pada Oktober.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, melalui pemberian vaksin itu akan membolehkan lebih banyak sektor perniagaan dan perkhidmatan dibuka semula.

“Dengan mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk di negeri ini menerima vaksin menjelang Oktober akan membolehkan lebih banyak sektor perniagaan dan perkhidmatan dibuka.

Hajiji (tengah) bersama Kok Liang (tiga dari kiri) dan ahli Matta dalam pertemuan mereka di PPNS, Kota Kinabalu.

“Ini termasuk sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam pertemuan dengan Jawatankuasa Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) yang diketuai Presidennya, Datuk Tan Kok Liang di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Hajiji sekali lagi menggesa kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan bekalan ke Sabah membabitkan sebanyak 600,000 dos vaksin untuk Julai dan 1.2 juta dos lagi untuk Ogos.

“Kami mahu mengekalkan momentum bagi memastikan penduduk mendapat vaksin secepat mungkin,” katanya.

Mengulas berhubung cadangan Matta untuk menghidupkan semua industri pelancongan pasca Covid-19, Hajiji memberi jaminan akan memastikan industri pelancongan di Sabah berjaya melalui pelan pemulihan pelancongan yang komprehensif.

Katanya, di bawah Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.88 juta menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar untuk diagihkan kepada pemandu pelancong, penyelam, malim gunung, porter, pengusaha hotel dan pengendali inap desa yang terjejas akibat pandemik itu.

Beliau sebelum itu turut memaklumkan akan bertemu dengan malim gunung untuk memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas dan untuk menyaksikan pengendalian program vaksinasi pelancongan di Kundasang, Ranau.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|