Bakul makanan PEMULIH diagih mulai hari ini di Labuan

Bakul makanan PEMULIH diagih mulai hari ini di Labuan

Labuan: Penduduk Labuan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 mula mendapat agihan bakul makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, berkata kira-kira 5,000 bakul makanan sudah disediakan untuk diagihkan melalui ketua kampung di seluruh pulau bebas cukai itu.

Katanya, keutamaan diberikan kepada penduduk yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti hilang pekerjaan dan kehabisan bekalan makanan.

Ahli Parlimen Labuan (baju hijau) membantu menyiapkan bakul makanan PEMULIH yang diagihkan kepada penduduk terjejas COVID-19 di Labuan.

“Sebanyak 4,500 hingga 5,000 bakul makanan disediakan daripada peruntukan RM300,000 sumbangan kerajaan persekutuan yang akan mula diagihkan melalui ketua kampung.

“Bagi fasa pertama, bakul makanan akan diagihkan kepada penduduk yang terjejas teruk dan terdesak seperti mereka yang kehilangan pekerjaan ketika pandemik COVID-19.

“Selepas itu, kita akan melihat kepada golongan lain seperti mereka yang mengalami pengurangan gaji atau yang mengalami penyusutan simpanan kewangan,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.

Katanya, bakul makanan yang disediakan mengandungi makanan asas seperti beras dan beberapa lagi barangan keperluan lain yang biasa dimakan penduduk Labuan.

Rozman berkata beliau bersyukur atas keprihatinan kerajaan Pusat memberikan peruntukan bakul makanan kepada semua Ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat yang kesusahan.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan penghargaan kepada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu rakyat Labuan menghadapi kesukaran akibat pandemik COVID-19 melalui pelbagai inisiatif seperti penyediaan Bank Makanan.

Katanya, golongan berkemampuan dialu-alukan terus menyumbang makanan ke mana-mana Bank Makanan yang ada di sekitar Labuan sebagai tanda prihatin dan kasih sayang antara sesama manusia.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|