Vaksinasi penduduk pedalaman bantu capai komuniti kelompok

Vaksinasi penduduk pedalaman bantu capai komuniti kelompok

Sipitang: Pendekatan ‘turun padang’ dengan perkhidmatan vaksinasi bergerak ke kawasan pedalaman dilihat semakin efisien dalam memastikan sasaran komuniti kelompok di daerah ini berjaya dicapai.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, Sani Miasin berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kini bertungkus lumus melaksanakan inisiatif tersebut.

“Kesanggupan petugas KKM yang membuat suntikan ke rumah-rumah penduduk kampung terutamanya yang tidak dapat hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) amatlah dihargai.

“Ini disebabkan terdapat isu beberapa penduduk kampung disebabkan masalah kesihatan, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

“Usaha sebegini bukan sahaja dapat memastikan sasaran komuniti kelompok di kawasan pedalaman berjaya dicapai, ia sekaligus dapat mengatasi penularan pandemik di daerah Sipitang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya ketika menyertai rombongan KKM bagi proses vaksinasi di Kampung Meligan, Sipitang, semalam.

Untuk rekod, kawasan perkampungan itu terletak kira-kira 100 kilometer dari Pekan Sipitang, Sipitang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|