666 kes Covid hari ini di Sabah

666 kes Covid hari ini di Sabah

Kota Kinabalu: Negeri Sabah hari ini merekodkan sebanyak 666 kes positif Covid-19 dengan mencatatkan dua kes kematian.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peningkatan jumlah kes itu menjadikan keseluruhan kumulatif adalah sebanyak 75,145 kes.

“Dua kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu di daerah Lahad Datu dan Beaufort.

“Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu berkata demikian dalam kenyataan media hariannya, sebentar tadi.

Terdahulu, Masidi berkata, jumlah peningkatan kes Covid-19 di Sabah adalah disebabkan beberapa faktor termasuk saringan kluster sebelum ini.

Jelasnya lagi, antara daerah yang menunjukkan peningkatan kes ketara adalah Kota Kinabalu dan Tawau.

“Hari ini juga boleh dipanggil “Hari Penjara” kerana 50.3 peratus daripada kes di Sabah datang daripada dua penjara, Penjara Kepayan 211 kes daripada 278 kes bagi Kota Kinabalu (76 peratus) dan Penjara Tawau 124 kes daripada 145 kes yang dilaporkan di Tawau (85.5 peratus).

“Secara keseluruhan 449 kes (67.4 peratus) daripada 666 kes berlaku di kluster-kluster sedia ada yang sudah pun diletakkan di bawah perintah PKPD,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Sabah hari ini turut merekodkan empat kluster baharu dengan melibatkan penularan jangkitan komuniti.

Empat kluster terbabit adalah Kluster Batu Tiga Utara – Sandakan, Kluster Agathis – Kalabakan, Kluster Tembok Dua – Tawau dan Kluster Sri Sandau – Kinabatangan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|