Keluarga prihatin buka bank makanan depan rumah

Keluarga prihatin buka bank makanan depan rumah

Putatan: Niat mulia sebuah keluarga membuka khemah untuk menyediakan barang keperluan asas bagi membantu golongan memerlukan semakin mendapat perhatian ramai.

Malah, ia menjadi di luar kawalan sehingga memaksa mereka mengubah konsep menjadi bantuan bakul makanan menggunakan sistem kupon bagi mengelakkan kekeliruan ketika penyerahan.

Pengasas bank makanan mini, Zurainee Kula, 48 berkata, permulaan bank makanan yang dibuka di hadapan rumahnya itu hanya bermodalkan kewangan sendiri untuk membantu golongan terjejas pendapatan akibat penularan Covid-19 memperoleh barangan keperluan harian.

Zurainee dan keluarga membuka bank makanan mini di depan rumah mereka yang terletak di Kampung Pasir Putih, Putatan dalam usaha membantu golongan terjejas pendapatan ekoran pandemik Covid-19.

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur dan tidak menyangka usaha yang pada awalnya dilihat kecil mampu menarik perhatian ramai pihak untuk turut serta membantu golongan memerlukan.

“Walaupun bantuan ini hanya sumbangan kecil kepada masyarakat namun saya percaya ia sangat bermakna buat pihak yang berkeperluan.

“Kami sekeluarga pada mulanya hanya mampu menyediakan 20 bakul makanan sahaja namun semakin ramai ahli keluarga serta rakan terdekat mahu turut sama menyalurkan sumbangan selepas mengetahui pendekatannya itu,” katanya.

Menurut Ibu kepada tujuh cahaya itu, bank makanan mini itu tidak dibuka setiap hari dan baru beroperasi empat kali sejak 13 Julai.

Dalam pada itu, Zurainee menyatakan dia sudah mendapatkan kebenaran daripada pihak polis serta Majlis Daerah Putatan ketika permulaan bank makanan berkenaan dibuka bagi mengelakkan berlaku sebarang rungutan.

“Kita sudah minta kebenaran daripada pihak berkuasa dan polis menyatakan tiada sebarang permit diperlukan sekiranya mahu membuka bank makanan.

“Bagaimanapun, pihak polis meminta kita memohon kebenaran daripada Majlis Daerah Putatan dan syukur setakat ini semuanya berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Zurainee menyatakan dia akan meneruskan pemberian bakul makanan itu dari semasa ke semasa selagi mempunyai sumber kewangan yang secukupnya.

“Saya sudah berbincangan bersama suami dah ahli keluarga yang kami akan teruskan pendekatan ini agar dapat meringan beban individu atau keluarga terjejas pendapatan akibat Covid-19.

“Namun ia juga bergantung kepada kewangan kami kelak. Saya turut besar hati menerima sekiranya ada pelbagai pihak di luar sana yang mahu bekerjasama dengan kita untuk sama-sama membantu melalui bank makanan mini ini,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|