Kudat: Dua beranak yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing di Sungai Karang, di sini, Jumaat lalu, ditemui lemas, semalam.
Kedua-dua mangsa Jobik Mokim, 47, anak lelakinya Nick Hezron, 18, ditemui orang awam terdampar di kawasan pesisir pantai berhampiran pusat peranginan Tampakan, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, kedua-dua mangsa hanya disedari hilang selepas bot mereka ditemui tersadai di Pantai Kampung Lok Dangkaan, Pitas, Sabtu lalu.

Katanya, keluarga mangsa kemudiannya membuat laporan kepada pihak berkuasa dan operasi mencari dan menyelamat dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan MaritiM Malaysia (APMM).
“JBPM memulakan operasi pada jam 7.51 pagi semalam di sekitar kawasan pesisir pantai dan kawasan bakau berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Bagaimanapun, JBPM menerima makluman penemuan mayat di pesisir Pantai berhampiran sebuah pusat peranginan dan terus bergerak ke lokasi dilaporkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Affendy berkata, sebaik tiba di lokasi, mangsa pertama yang dipercayai Jobik, ditemui diangkat menggunakan bot JBPM.
Katanya, beberapa minit selepas itu, pasukan bomba menemui seorang mangsa iaitu Nick Hezron dan terus dinaikan ke bot pasukan polis dengan dibantu pihak bomba dan Maritim Malaysia.
“Kedua-dua mangsa terus dihantar ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) untuk diserahkan kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan pada jam 1.55 petang dan pasukan bomba terus bergerak balik ke Balai Bomba dan Penyelamat Kudat yang terletak 10 kilometer dari lokasi penemuan kedua-dua mangsa,” katanya.
– Deasoka