SEDIA perlu terus aktif Program CSR bantu rakyat

SEDIA perlu terus aktif Program CSR bantu rakyat

Tuaran: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) disarankan terus aktif dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha SEDIA melancarkan program CSR untuk mengenalpasti kawasan penduduk terjejas dan mengedarkan bantuan bakul makanan, amat dialu-alukan.

Katanya, program CSR itu dilihat sebagai mendukung usaha kerajaan negeri yang turut mengagihkan bantuan bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, terutama di kawasan yang disasarkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan sumbangan bakul makanan daripada SEDIA kepada salah seorang penerima sempena pada program berkenaan.

“Menerusi Program Sumbangan CSR oleh SEDIA hari ini, sebanyak 300 bakul makanan diagihkan kepada penduduk di beberapa kampung di daerah ini.

“Ini melambangkan solidariti usaha antara SEDIA, Kerajaan Negeri, dan petugas barisan hadapan dalam memastikan keselamatan rakyat daripada pandemik COVID-19, selain membantu mempromosikan pendaftaran suntikan vaksin COVID-19,” katanya di sini, semalam.

Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA turut menyampaikan bantuan bakul makanan itu kepada beberapa penduduk dalam majlis yang diadakan di Pusat Kebudayaan Bajau Samah di Kampung Lok Batik, di sini.

Yang turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Arif, Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Jasni Daya dan Ketua Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Hashim Paijan.

Hajiji berkata, penularan pandemik COVID-19 di negara ini menyebabkan peningkatan kadar pengganguran, operasi perniagaan terjejas dan pergerakan rakyat juga tersekat dalam usaha membendung penyebaran virus berkenaan.

“Saya berharap dengan pelaksanaan program CSR ini dapat mengeratkan hubungan dan kerjasama antara masyarakat di kawasan yang terlibat, kerajaan negeri dan SEDIA pada masa akan datang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|