Sabah berusaha percepat pemberian vaksin

Sabah berusaha percepat pemberian vaksin

Kota Kinabalu: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang berusaha untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada semua rakyat di negeri ini.

Pengarahnya, Dr Rose Nani Mudin berkata, memang menjadi matlamat jabatan untuk memberi vaksinasi secepat dan sebanyak mungkin kepada rakyat di Sabah.

Katanya, kini pihaknya masih menunggu bekalan vaksin kerana perlu memberi perhatian dan keutamaan kepada negeri – negeri yang mempunyai kes yang sangat tinggi.

“Sehingga Julai 2021, kita menerima lebih 700,000 vaksin dan kita sedang giat mempertingkatkan pemberian vaksin di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebanyak dua kali ganda khususnya di PPV yang mempunyai populasi tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri, hari ini.

Sementara itu, mengulas berhubung peningkatan mendadak kes Covid-19 di Sabah sejak dua hari lalu, Rose Nani berkata, ia adalah disebabkan penularan jangkitan dalam kalangan penghuni tembok.

Katanya, Sabah mencatat peningkatan kes dalam dua hari kebelakangan ini adalah disebabkan berlakunya kes di penjara.

“Apabila berlaku kes, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat saringan meluas kepada semua anggota dalam penjara dan inilah yang menyebabkan peningkatan kes mendadak.

“Kita sedia maklum bahawa penjara merupakan tempat yang tertutup dan jangkitan mudah berlaku,” katanya.

Bagaimanapun Rose Nani yakin peningkatan kes itu boleh dikawal dengan segera menerusi koordinasi oleh pasukan kawalan serta bilik gerakan yang beroperasi setiap hari di semua daerah.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|