56 rumah Kampung Titingan musnah terbakar

56 rumah Kampung Titingan musnah terbakar

Tawau: Hampir 200 orang hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di perkampungan atas air, Kampung Titingan, di sini, musnah terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, sekurang-kurangnya 56 rumah musnah terbakar selepas api marak terlalu cepat disebabkan struktur rumah berasaskan kayu serta faktor angin.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9 pagi.

Lokasi kejadian kebakaran terbabit.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 50 anggota dan pegawai bersama sembilan jentera (Jentera dan Utiliti) dikerah ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, api didapati sedang marak dan operasi memadam kebakaran segera dilakukan bagi mengawal daripada terus merebak ke kawasan berhampiran.

“Api hanya berjaya dikawal daripada terus merebak pada jam 10.55 dan seterusnya kerja-kerja overhaul dilakukan bagi memastikan bara-bara api dipadam sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelihatan api marak memusnahkan beberapa buah rumah di Kg Titingan, Tawau, hari ini.

Affendy berkata, kedudukan rumah yang terlalu hampir antara satu sama yang lain dipercayai menjadi punca api cepat merebak.

Katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan bahagian Forensik JBPM.

Beberapa rumah yang musnah dalam insiden berkenaan.

“Operasi pemadaman kebakaran turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|