Pemandu Airport Limo mengamuk, rempuh 3 kenderaan

Pemandu Airport Limo mengamuk, rempuh 3 kenderaan

Kota Kinabalu: Seorang pemandu kereta Airport Limo mengamuk sehingga nekad merempuh tiga kenderaan dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, lelaki berusia awal 60-an terbabit dikatakan berang selepas barisan menunggu pelanggan dipotong rakan pemandu Airport Limo.

Bagaimanapun, kejadian yang mengejutkan orang ramai di lokasi itu tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan dalam insiden berkenaan.

Gambar tular yang sempat dirakamkan orang ramai yang berada di lokasi.

Kejadian terbabit yang tular di media sosial turut menimbulkan pelbagai persoalan sehingga ramai netizen yang tertanya-tanya punca sebenar kejadian.

Malah ada yang cuba mengaitkan kes kehilangan pertimbangan itu sebagai kesan daripada penularan Pandemik Covid-19 yang menyempitkan hidup sesetengah masyarakat.

Dalam rakaman berdurasi hampir satu minit berkenaan, orang ramai termasuk pemandu teksi Airport Limo yang berada di lokasi dilihat hanya mampu melihat tindakan lelaki terbabit.

Kesan rempuhan kenderaan tersebut dalam kejadian di KKIA, Kota Kinabalu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian untuk tindakan selanjutnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|