Dua sepupu disyaki tokan dadah dicekup

Dua sepupu disyaki tokan dadah dicekup

Tawau: Dua sepupu yang dipercayai tokan dadah ditahan bersama syabu bernilai lebih RM101,000 dalam satu serbuan di tempat letak kereta lot kedai kawasan Kubota, Jalan Chong Thein Vun, pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, seorang wanita warga Filipina bersama sepupunya lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 52 tahun ditahan bersama sebanyak 2.82 kilogram syabu.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, serbuan dibuat oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.

Dadah yang dirampas dalam kejadian itu.

“Serbuan membuahkan hasil apabila berjaya menahan seorang wanita dan seorang lelaki di dalam kenderaan disyaki sebagai tokan dadah.

“Pemeriksaan lanjut terdapat empat bungkusan plastik mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu di dalam kenderaan dengan berat kasar sebanyak 2.82 kilogram dengan anggaran harga pasaran RM101, 556,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Tawau pada Isnin.

Katanya lagi, hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif daripada sebarang pengambilan dadah.

“Pemeriksaan juga mendapati, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Kedua-dua suspek ditahan dan kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sebelum itu, Peter turut mendedahkan bahawa pihaknya telah lama memerhati gerak geri tokan dadah dari tangkapan yang sebelum ini bagi mengenalpasti modus operandi mereka.

“Kaedah ini berjaya di mana kebanyakannya tertangkap dan sedang dijatuhkan hukuman.

“Taktik dan teknik yang digunakan oleh mereka juga sentiasa berubah-ubah namun begitu, pihak polis sentiasa membuat risikan bagi menyekat dan mengekang operasi tokan dadah,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|