Elak dicekup, lelaki parah terjun bangunan

Elak dicekup, lelaki parah terjun bangunan

Labuan: Seorang lelaki patah tangan kiri, cedera di bahagian kiri pinggang dan kepala selepas terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan 1, di sini, semalam, ketika mahu melarikan diri daripada ditahan.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, suspek berusia 33 tahun dipercayai menceroboh masuk ke bangunan sekolah berkenaan sebelum disedari orang awam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, siasatan mendapati, pengadu seorang penjawat awam bersama dua rakannya ke bangunan berkenaan untuk membuat pemeriksaan selepas menerima maklumat orang awam.

Katanya, ketika berada di tingkat tiga bangunan itu, pengadu mendapati sesuatu yang mencurigakan disebalik tandas yang tertutup lalu menolak pintu tandas berkenaan.

“Suspek yang dipercayai sedang bersembunyi dalam tandas terkejut lalu memanjat tingkap tandas dan keluar ke beranda luar.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan terjun dari tingkat tiga bangunan berkenaan. Suspek didapati terbaring dan cedera,” katanya dalam kenyataan media, petang tadi.

Ahmad berkata, sepasukan polis yang tiba di lokasi sebaik menerima maklumat berkenaan kejadian itu menemui sebuah beg serta alat berupa ‘kuku kambing’.

“Suspek yang cedera di kepala, patah tangan kiri dan luka di bahagian kiri pinggang kemudian dibawa ke hospital menggunakan kenderaan ambulans untuk rawatan lanjut.

“Keadaan suspek stabil dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai pekerjaan dan memiliki tiga rekod jenayah lampau berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya

Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

– Deasoka

Share

Written by:

468 Posts

View All Posts
Follow Me :
error: Content is protected !!