UMS giatkan inisiatif bantu program vaksinasi di kawasan PKPD

UMS giatkan inisiatif bantu program vaksinasi di kawasan PKPD

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menggiatkan inisiatif membantu program vaksinasi Covid-19 kepada penduduk yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekirar bandar raya ini.

Terbaharu, melalui Program Vaksinasi Mobile CITF Daerah Kota Kinabalu, seramai 132 penduduk University Apartment 1 (UA1) yang dikenakan PKPD sejak 6 Ogos lalu menerima vaksin Covid-19.

Pegawai Perubatan Hospital UMS, Dr Rishaini Elengovan, berkata program yang membabitkan kerjasama pelbagai pihak itu termasuk Hospital UMS, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Cawangan Sabah adalah siri kedua selepas siri pertama di Taman Putera Jaya, Telipok pada 12 Ogos lalu.

“Seramai 15 petugas yang terdiri daripada Pegawai Perubatan, Jururawat, Penolong Pegawai Perubatan, Juru X-Ray, Juruteknologi Makmal Perubatan dan kakitangan pentadbiran terbabit dalam menjayakan program ini.

“Ia diadakan bagi memudahkan penduduk yang terjejas mendapatkan vaksinasi tanpa perlu keluar dari kawasan PKPD dan ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan risiko kepada penduduk di kawasan yang mempunyai kes penularan Covid-19,” katanya.

Rishaini yang juga Ketua Penyelaras Bersama Program jangkauan luar itu, berkata ia secara tidak langsung dapat membantu mempercepatkan sasaran kerajaan negeri untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk Sabah mendapat suntikan vaksin lengkap menjelang Oktober depan.

Katanya, program jangkauan luar seperti itu dijangka akan diteruskan di beberapa lokasi di sekitar Kota Kinabalu sehingga 2 September ini antaranya di Taman Bukit Setia, Sepanggar, Tanjung Aru dan Sembulan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|