Dua ejen judi tambah nilai dicekup

Dua ejen judi tambah nilai dicekup

Kota Belud: Dua ejen perjudian membabitkan seorang wanita dan lelaki ditahan dalam Op Dadu di dua lokasi berasingan di daerah ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, serbuan pertama dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud di Kampung Sumbilingon, di sini.

Katanya, hasil operasi, seorang wanita berusia 41 tahun ditahan selepas disyaki bertindak sebagai ejen perjudian tambah nilai dalam talian.

“Operasi Op Dadu itu diteruskan lagi di Kampung Pompod, Kelawat, di sini dan kali ini berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun.

“Suspek turut disyaki terbabit sebagai ejen kegiatan perjudian tambah nilai dan judi dalam talian yang aktif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sahimi berkata, turut dirampas sebuah telefon pintar jenis Vivo yang digunakan dalam aktiviti berkenaan dan wang tunai RM50 hasil kegiatan perjudian.

Katanya, kejayaan tangkapan ini adalah hasil risikan pihak polis dan maklumat yang diterima daripada orang awam.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) C Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” katanya.

Sementara itu, Sahimi menasihati masyarakat Kota Belud supaya menjauhi dan tidak terbabit dengan kegiatan perjudian tambah nilai.

Katanya, ia bukan saja menyalahi undang-undang tetapi juga dapat mengundang kepada keruntuhan institusi kekeluargaan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat kegiatan perjudian di daerah ini supaya menyalurkan kepada IPD Kota Belud.l untuk tindakan segera.

“Bersama-sama kita membenteras jenayah ini demi kesejahteraan dan keselamatan daerah Kota Belud,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|