Covid-19 Sabah: Lebih separuh kes positif babitkan individu tidak divaksin

Covid-19 Sabah: Lebih separuh kes positif babitkan individu tidak divaksin

Kota Kinabalu: Lebih separuh daripada 2,413 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini terdiri daripada mereka yang tidak divaksin.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata paling ramai dijangkiti ialah individu belum menerima vaksin iaitu sebanyak 1,047 kes.

Katanya, ia diikuti golongan yang belum layak divaksin atau mereka yang berumur kurang 18 tahun dengan seramai 601 individu dikesan dijangkiti Covid-19 hari ini.

“Daripada 2,413 kes baharu positif Covid-19 hari ini, seramai 601 kes adalah mereka yang belum layak vaksin, diikuti jumlah paling ramai iaitu golongan belum menerima vaksin, seramai 1,047 kes.

“Bagi individu yang sudah menerima satu dos vaksin Covid-19, seramai 489 orang dijangkiti, manakala mereka yang sudah menerima dua dos vaksin hanya berjumlah 276 orang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, jangkitan mengikut umur pula menunjukkan golongan dewasa berumur 18 tahun hingga 59 tahun paling ramai dijangkiti Covid-19 iaitu sebanyak 1,650 kes, diikuti individu berumur enam tahun hingga 17 tahun dengan sebanyak 405 kes.

Beliau berkata, golongan kanak-kanak berumur setahun hingga lima tahun pula merekodkan sebanyak 172 kes, diikuti golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas sebanyak 162 kes dan bayi berumur bawah setahun sebanyak 24 kes.

Secara keseluruhan, Sabah merekodkan kes tertinggi hari ini iaitu 2,413 kes dengan 18 kes kematian masing-masing enam kes di Tawau, diikuti lima kes di Kota Kinabalu, empat kes di Sandakan dan masing-masing satu kes di Penampang, Tuaran dan Kunak.

Sementara itu, seramai 810 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh hari ini, manakala seramai 5,258 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,246 orang di hospital, diikuti 3,958 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam, 45 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara, manakala sembilan orang lagi di fasiliti swasta.

“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah seramai 159 orang dan 65 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Satu kluster baharu hari ini iaitu Kluster Sungai Pin 2, Kinabatangan dilaporkan tercetus di tempat tempat kerja yang membabitkan kes indeks seorang pekerja wanita warga Indonesia berumur 52 tahun di sebuah ladang sawit berdekatan Sungai Pin, Kinabatangan.

Kes indeks dilapor bergejala sejak 10 Ogos lalu sebelum disahkan positif Covid-19 dengan setakat ini dikenal pasti menjangkiti seramai 19 lagi pekerja dan tanggungan yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 20 kes setakat ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|