Kota Kinabalu: Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang bakal diadakan pada 31 Ogos depan akan diperhalusi sebelum pelaksanaannya.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia bagi memastikan segala garis panduan sambutan berkenaan dipatuhi dan bersesuaian dengan suasana pandemik Covid-19.
Katanya, perkara itu turut dibincang bersama dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
“Atas nasihat Yang Dipertua Negeri, kita akan memperhalusi cadangan berkaitan perjalanan program sambutan hari kebangsaan itu supaya bersesuaian dengan situasi semasa.
“Pandangan dan nasihat yang diberikan oleh Tun Juhar akan dimaklumkan kepada Kabinet sebagai panduan sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat di Istana Negeri, hari ini.
Masidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri berkata, cadangan awal sambutan hanya membabitkan 300 jemputan yang lengkap dua dos vaksin selain turut diminta melakukan ujian calitan Covid-19.
Katanya, jemputan juga perlu menjalani saringan kesihatan sebelum hadir ke program berkenaan bagi memastikan mereka benar-benar dalam keadaan yang sihat.
“Selain itu, kita juga perlu memastikan perjalanan acara sambutan dihadkan tidak lebih dari satu jam,” katanya.
Masidi berkata, jumlah kes baharu yang mencecah angka sehingga lebih 2,000 kes, hari ini, perlu diambil perhatian oleh semua pihak.
Katanya, ia harus dilihat sebagai isyarat untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19.
-Deasoka