Shafie gagal dapat sokongan jadi calon PM

Shafie gagal dapat sokongan jadi calon PM

Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sebelum ini menyatakan hasrat dinamakan sebagai calon Perdana Menteri Kesembilan terpaksa mengalah selepas gagal mendapat sokongan.

Berdasarkan laporan sebuah portal lain hari ini, Ahli Parlimen Semporna itu dikatakan tidak dapat menarik sokongan Ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk dicalonkan mewakili blok pembangkang.

Berikutan itu, beliau dilaporkan menyatakan pendirian WARISAN untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili blok pembangkang.

Sementara itu, Ketua Wira WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman dalam perkongsiannya di laman Twitter berkata WARISAN mengotakan janji dengan menandatangani surat akuan (SD) menyokong Anwar.

“Kami sudah mengotakan janji kami dan WARISAN sudah menandatangani SD menyokong DSAI (Anwar) bagi memastikan 105 Ahli Parlimen blok pembangkang kekal utuh. Sekarang terpulang kepada DSAI untuk menunaikannya,” katanya.

Mohd Shafie dalam satu wawancara di Astro Awani malam tadi menjelaskan beliau dan Anwar mencapai persetujuan untuk menamakan salah seorang daripada mereka sebagai calon Perdana Menteri berdasarkan siapa yang dapat menarik sokongan Ahli Parlimen untuk membolehkan PH mendapat majoriti kerusi di Parlimen.

PH yang disertai PKR, DAP dan AMANAH serta disokong PEJUANG, WARISAN dan UPKO selain beberapa wakil rakyat bebas memiliki 105 Ahli Parlimen yang bermakna blok pembangkang memerlukan sekurang-kurangnya tujuh lagi sokongan untuk mendapat majoriti mudah.

Difahamkan, Mohd Shafie menawarkan diri untuk calon Perdana Menteri sebagai pilihan kepada Ahli Parlimen blok pembangkang yang tidak menyokong Anwar, namun semua wakil rakyat pembangkang dikatakan perlu menyokong Anwar jika Mohd Shafie tidak berjaya menarik sokongan Ahli Parlimen di luar PH untuk menyokong beliau.

Seramai 218 Ahli Parlimen diberi masa sehingga jam 4 petang tadi untuk menyerahkan SD masing-masing kepada Istana Negara seperti diminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu notis semalam bagi menentukan calon mana mempunyai majoriti sokongan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|