Covid-19 Sabah: Kes melonjak lagi hari ini

Covid-19 Sabah: Kes melonjak lagi hari ini

Kota Kinabalu: Kes jangkitan Covid-19 sekali lagi melonjak hari ini dengan sebanyak 2,413 kes berbanding 2,103 kes yang dilaporkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah itu termasuk keputusan saringan tertunggak berjumlah 258 kes atau 10.7 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Kes baharu di Sabah terus melonjak ke paras yang amat tinggi. Hari ini jumlah kes baharu di Sabah ialah 2,413, iaitu 310 lebih tinggi berbanding semalam. Jumlah kes hari ini termasuk keputusan saringan tertunggak (backlog) sebanyak 258 (10.7 peratus),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, daerah Kota Kinabalu kekal mencatat kes tertinggi dengan sebanyak 594 kes hari ini iaitu bertambah sebanyak 127 kes berbanding 467 kes semalam.

Katanya, ia diikuti daerah Tawau, 348, kes (+93); Penampang, 177 kes (+42); Tuaran, 174 kes (-26); Sandakan, 150 kes (-58); Keningau, 153 kes (-10); Lahad Datu, 125 kes (+47); Sipitang, 82 kes (+47); Tenom, 82 kes (+21); Kalabakan, 47 kes (+39); Ranau, 16 kes (-41) dan Telupid, 18 kes (-30).

“Saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian di Sabah iaitu 1,410 kes (58.4 peratus), diikuti saringan bergejala sebanyak 538 kes (12.3 peratus) dan saringan kluster sebanyak 233 kes (9.6 peratus).

“Sebanyak 1,363 orang (56.5 peratus) daripada 2,413 kes hari ini adalah pesakit kategori dua, disusuli seramai 1,026 orang (42.5 peratus) dalam kategori satu, seramai 11 orang dalam kategori tiga, seramai tiga orang dalam kategori empat dan lima orang lagi dalam kategori lima,” katanya.

Katanya, satu lagi kluster baharu turut direkodkan hari ini iaitu Kluster Sungai Pin 2 di Kinabatangan yang sehingga kini mencatat 20 kes termasuk 19 kes baharu.

Sementara itu, katanya setakat semalam, sebanyak 48.4 peratus penduduk dewasa di Sabah sudah memperolehi satu dos vaksin, manakala 24.7 peratus sudah melengkapkan dua dos suntikan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|