Ugut serang kakak ipar guna parang

Ugut serang kakak ipar guna parang

Beaufort: Seorang lelaki yang cuba menyerang kakak ipar menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Menumpang, Kuala Penyu, di sini, di tahan polis, semalam.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, suspek berusia 34 tahun yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol bertindak agresif termasuk memukul mangsa.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, mangsa dalam kejadian ini adalah seorang wanita berusia 33 tahun.

Katanya, siasatan mendapati, suspek pada awalnya dilaporkan melanggar mangsa dari belakang ketika berada di dapur.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek terus menegurnya namun sebaliknya dia marahi dan dipukul menggunakan sudu.

“Suspek kemudian cuba sekali lagi menyerang mangsa namun sempat dihalang oleh ahli keluarga lain,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, suspek kemudiannya masuk semula ke dalam rumah dengan memegang sebilah parang panjang sebelum cuba menyerang mangsa.

Katanya, mangsa kemudiannya menyelamatkan diri bersama seorang anaknya dan terus bersembunyi di rumah jiran.

“Susulan laporan yang dibuat mangsa, sepasukan polis terus dikerah ke lokasi kejadian dan menahan suspek untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|